Adakah anda tahu bagaimana untuk menyesuaikan pemakaian anda dengan setiap temuduga yang anda hadiri? Dan paling penting, bagaimana menyesuaikan pakaian dengan diri anda sendiri?
Kita semua tahu bahawa etika pakaian formal bagi lelaki adalah kot, tali leher, kemeja lengan panjang dan seluar slack. Bagi perempuan pula adalah jaket, skirt melepasi paras lutut atau seluar panjang dan baju kurung. Tapi ada beberapa tips lain yang boleh anda pertimbangkan ketika memilih pakaian untuk menghadiri temuduga.
1. Perhatikan etika berpakaian syarikat tersebut kerana terdapat perbezaan antara swasta dan kerajaan. Contohnya pekerja Petronas tidak memakai tali leher pada hari bekerja biasa. Maka memadai anda sekadar memakai tali leher sahaja tanpa kot terutamanya jika ia membuatkan anda tidak selesa.
2. Kot atau blazer bukanlah pakaian wajib dalam temuduga. Sekiranya anda ingin mengenakan kot atau blazer, pastikan saiznya muat di badan anda. Jangan terlalu besar atau terlalu ketat kerana ia akan membuatkan anda kelihatan kelakar.
3. Kalau memakai tali leher, pastikan panjangnya tidak melebihi kepala tali pinggang anda. Tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek.
4. Pilihlah pakaian dengan warna-warna pastel atau hitam dan putih. Cuba elakkan warna-warna terang seperti blocking color. Ini termasuklah warna stokin, tali pinggang, tudung, skarf dan tali leher anda.
5. Bagi lelaki, kasut kulit berwarna hitam dan coklat gelap adalah digalakkan dan pastikan ianya digilap terlebih dahulu. Jangan sesekali memilih kasut jenis sneakers, loafers, moccasins dan kasut sukan.
6. Bagi wanita, kasut tumit tinggi anda tidak seharusnya melebihi 4 inci. Seeloknya pakailah kasut yang menutupi hujung jari kaki anda. Kasut jenis ballet plat adalah tidak digalakkan kerana ia membuatkan anda nampak tidak bersedia.
7. Bagi wanita, jangan sesekali memakai skirt pendek di atas paras lutut kerana ia nampak kurang sopan di mata ahli panel.
8. Elakkan memakai pakaian yang ketat kerana ia akan membuatkan anda tidak selesa ketika duduk di dalam bilik temuduga.
9. Aksesori yang dibenarkan untuk lelaki adalah jam tangan, cuff-link dan klip tali leher. Anting-anting, tatu, gelang tangan dan rantai leher adalah tidak dibenarkan bagi lelaki. Aksesori untuk perempuan pula seharusnya bersesuaian dan tidak berlebihan sama ada dari segi saiz atau kuantiti.
10. Tips penampilan : Mewarna rambut adalah tidak digalakkan sama sekali dan pastikan rambut disikat rapi dan kemas. Pakailah solekan dan wangian yang tidak keterlaluan. Makan gula-gula sebelum temuduga untuk mengelakkan nafas berbau, cukur dan kemaskan misai, janggut dan bulu hidung.
Selamat memilih pakaian ! :-)