Kalau Menulis Resume (You Can't Believe They Actually Wrote This)

1. The Most Epic Reason of Leaving the Company :
a) "Was under a two months contract, and upon the expiry of the contract, it was not extended. Therefore I left." 
b) "They wanted employees to leave by always finding faults in the task carried out"
c) "I left because of a hostile environment where the clerk started whirling his hand at me and punching and kicking the lift."

2. The Most Creative Email Address :  
a) "putihreddish@" - sounds like cupcake with red velvet ~
b) "lordsufian@" - must be Lord of The Rings die hard fan !
c) "cayunk_ayunk@" - she is overloaded with romantic-ness and loving-ness

3. The Most Honest Information : 
a) "Height: 159cm, Weight: 100kg" - You don't have to mention everything in your resume :-)
b) "Willing To Relocate : Yes only if to Europe, Australia, or Canada" - Then, what are you doing here in Malaysia?
c) "Preferred working days : Does not matter to me (any day will do)" - OK noted. Please come to work everyday.

My dear, please develop your common sense. But never mind, you've just made my day ! Especially with your duckface passport photo. Hahaha !




Kalau Memilih Pakaian Untuk Temuduga

Adakah anda tahu bagaimana untuk menyesuaikan pemakaian anda dengan setiap temuduga yang anda hadiri? Dan paling penting, bagaimana menyesuaikan pakaian dengan diri anda sendiri?

Kita semua tahu bahawa etika pakaian formal bagi lelaki adalah kot, tali leher, kemeja lengan panjang dan seluar slack. Bagi perempuan pula adalah jaket, skirt melepasi paras lutut atau seluar panjang dan baju kurung. Tapi ada beberapa tips lain yang boleh anda pertimbangkan ketika memilih pakaian untuk menghadiri temuduga.


1. Perhatikan etika berpakaian syarikat tersebut kerana terdapat perbezaan antara swasta dan kerajaan. Contohnya pekerja Petronas tidak memakai tali leher pada hari bekerja biasa. Maka memadai anda sekadar memakai tali leher sahaja tanpa kot terutamanya jika ia membuatkan anda tidak selesa.

2. Kot atau blazer bukanlah pakaian wajib dalam temuduga. Sekiranya anda ingin mengenakan kot atau blazer, pastikan saiznya muat di badan anda. Jangan terlalu besar atau terlalu ketat kerana ia akan membuatkan anda kelihatan kelakar.

3. Kalau memakai tali leher, pastikan panjangnya tidak melebihi kepala tali pinggang anda. Tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek. 

4. Pilihlah pakaian dengan warna-warna pastel atau hitam dan putih. Cuba elakkan warna-warna terang seperti blocking color. Ini termasuklah warna stokin, tali pinggang, tudung, skarf dan tali leher anda.

5. Bagi lelaki, kasut kulit berwarna hitam dan coklat gelap adalah digalakkan dan pastikan ianya digilap terlebih dahulu. Jangan sesekali memilih kasut jenis sneakers, loafers, moccasins dan kasut sukan.

6. Bagi wanita, kasut tumit tinggi anda tidak seharusnya melebihi 4 inci. Seeloknya pakailah kasut yang menutupi hujung jari kaki anda. Kasut jenis ballet plat adalah tidak digalakkan kerana ia membuatkan anda nampak tidak bersedia.

7. Bagi wanita, jangan sesekali memakai skirt pendek di atas paras lutut kerana ia nampak kurang sopan di mata ahli panel.

8. Elakkan memakai pakaian yang ketat kerana ia akan membuatkan anda tidak selesa ketika duduk di dalam bilik temuduga. 

9. Aksesori yang dibenarkan untuk lelaki adalah jam tangan, cuff-link dan klip tali leher. Anting-anting, tatu, gelang tangan dan rantai leher adalah tidak dibenarkan bagi lelaki. Aksesori untuk perempuan pula seharusnya bersesuaian dan tidak berlebihan sama ada dari segi saiz atau kuantiti. 

10. Tips penampilan : Mewarna rambut adalah tidak digalakkan sama sekali dan pastikan rambut disikat rapi dan kemas. Pakailah solekan dan wangian yang tidak keterlaluan. Makan gula-gula sebelum temuduga untuk mengelakkan nafas berbau, cukur dan kemaskan misai, janggut dan bulu hidung.


Selamat memilih pakaian ! :-)




Kalau Memperkenalkan Diri Dalam Temuduga

Sila perkenalkan diri anda.
Soalan ini selalunya adalah soalan pembukaan dalam setiap temuduga. Remember, first impression stick. Berikan jawapan yang ringkas tapi tidak klise, lain daripada lain dan mampu menarik perhatian ahli panel.

Contoh : Salam. Nama saya diberi sejak 25 tahun yang lepas - Nurul Fatimah Hazman. Anak sulung dalam keluarga dan merupakan anak pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke Universiti. Insha Allah saya berharap akan menjadi contoh yang terbaik kepada lima orang adik saya yang lain. Saya memiliki Ijazah Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknikal Malaysia dengan CGPA 3.31, alhamdulillah zaman universiti banyak mengajar saya pelbagai kemahiran seperti Adobe Photoshop, bermain tenis dan menulis pantun di blog.

Pengenalan diri yang lain daripada lain ini lebih berguna sekiranya anda menghadiri temuduga berkumpulan. Selain memperkenalkan diri, anda juga memperkenalkan personaliti dan kekuatan diri anda. Ini akan menarik perhatian panel untuk bertanya lebih lanjut sekaligus mencipta mood temuduga yang lebih "personal", ceria dan kurang tekanan. Tapi jangan terlalu berbunga-bunga pula, takut nanti panel tak faham.

Paling penting, anda mesti berlatih bagaimana untuk memperkenalkan diri sebelum masuk ke dalam bilik temuduga. Kalau anda gagal bercerita tentang diri sendiri, apatah lagi tentang hal-hal lain. 

Selamat memperkenalkan diri ! :-)


Kalau Menjawab Lima Soalan Popular Dalam Temuduga

Di manakah anda lima tahun dari sekarang?
Saya ingin menjadi seorang Pengurus Kanan di syarikat ini. Lima tahun mungkin terlalu awal untuk saya menjadi Pengurus Kanan, tetapi saya perlu bekerja keras untuk belajar sebanyak mungkin dalam tempoh yang pendek ini.

Tips: Anda berkeyakinan dan memasang angan-angan yang tinggi, tapi dalam masa yang sama anda merendah diri dan mengakui kelemahan diri.



Adakah anda ingin bekerja di Kuala Lumpur atau di Sarawak?
Jika diberi pilihan saya ingin bekerja di Kuala Lumpur kerana saya rasa lebih banyak peluang untuk memajukan kerjaya di sini. Tapi saya akan mempertimbangkan tawaran kerja di Sarawak untuk menambah lagi pengalaman saya dalam bidang ini.

Tips: Anda telahpun memberi jawapan yang pertama bersama alasan kukuh anda yang tersendiri. Tapi dalam masa sama anda tidak menolak atau menafikan pilihan jawapan yang kedua. Ini menunjukkan anda tidak tamak dan tidak mementingkan diri sendiri.


Kenapa anda memilih untuk menyertai syarikat kami dan meletak jawatan di syarikat lama? 
Saya ingin memajukan lagi kareer saya dalam industri yang lebih besar bersandarkan kelayakan yang saya ada. Sebelum ini saya telahpun mencuba sehabis baik di syarikat lama dan telah tiba masanya untuk saya mencapai impian yang lebih besar dengan bekerja di syarikat ternama ini. Sekiranya diberi peluang, saya akan berusaha untuk menggunakan segala pengalaman yang saya perolehi untuk memajukan syarikat ini.

Tips: Panel cuba menimbulkan provokasi. Jangan sesekali memburuk-burukkan mana-mana syarikat atau orang perseorangan. Kembalikan topik perbualan kepada kekuatan diri anda dan dalam masa yang sama merendah diri. Kaitkan latar belakang pendidikan anda dengan misi dan visi syarikat.


Kenapa kami perlu mengambil anda bekerja di sini sedangkan anda tidak mempunyai pengalaman bekerja?
Kerana saya ada kemampuan yang boleh menyumbang kepada kejayaan syarikat ini. Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman bekerja, tetapi sebagai orang muda yang baru tamat belajar, saya mempunyai semangat yang tinggi, kesihatan yang baik, penglihatan yang cerah dan pemikiran yang kreatif. Sekiranya diberi peluang, saya bersedia untuk terus belajar di bawah tunjuk ajar pemimpin di dalam syarikat tuan.

Tips: Panel ingin menilai sejauhmana anda mampu memberi sumbangan kepada syarikat mereka. Jangan terlalu membangga diri dan jangan terlalu merendah diri. Walaupun anda tidak mempunyai pengalaman bekerja, tetapi pasti anda boleh tunjukkan kehebatan yang lain. 


Apakah kelemahan diri anda?
Kelemahan saya adalah dalam menyusun aktiviti seharian saya. Kadang-kadang saya terlalu mengutamakan multitasking dan mementingkan kesempurnaan (perfectionist). 

Tips: Panel ingin menduga keyakinan diri anda. Adalah lebih menarik sekiranya anda memberitahu tentang kelemahan anda tetapi dalam masa yang sama kelemahan itu boleh menjadi kekuatan anda. Jangan menipu atau mencipta jawapan, seeloknya selami dan kenali diri anda. Pasti ada kelemahan diri yang menjadi punca kekuatan anda selama ini.

Secara keseluruhannya, setiap jawapan anda perlu mempunyai elemen berikut:

Keyakinan diri
Merendah diri
Keinginan untuk belajar
Berkata benar 
Tidak melampau

Selamat berlatih menjawab soalan temuduga :-)

Kalau Dah Dapat Kerja... (Bengkel Kereta Mahal)

Satu video menarik untuk dikongsikan bersama. Kalau dah dapat kerja janganlah meninggi diri. Kalau belum dapat kerja janganlah terlalu merendah diri. Pokok pangkalnya adalah usaha ! :-)

Bengkel Kereta Mahal

Kalau Menulis Resume (Panduan Pengisian)

Resume adalah satu-satunya jurucakap anda kepada bakal majikan sesebuah syarikat yang diidam-idamkan. Pentingnya resume kepada setiap graduan, tetapi masih ada yang memandang ringan kepentingannya. Apakah pengisian resume yang terbaik? Ada beberapa tips untuk dikongsikan terutamanya kepada graduan yang baru pertama kali menulis resume. Semoga bermanfaat untuk semua. 

FORMAT RESUME

Resume yang baik mestilah terdiri daripada format berikut:
i. Maklumat diri / About Me
ii. Kelayakan pendidikan / Education
iii. Pengalaman bekerja / Working Experience
iv. Kemahiran kendiri / Personal Strength
v. Gaji / Salary
vi. Rujukan / Reference



i. MAKLUMAT DIRI yang wajib adalah nama, emel, nombor telefon, nombor kad pengenalan dan alamat surat menyurat yang terkini. Ingat, alamat emel mestilah menggunakan nama rasmi anda! Saya pernah melihat alamat emel yang terlalu kebudak-budakkan dan tidak formal. (cth : cayunkhoney@yahoo.com / akuadakauada@gmail.com). Kelakar pun ada! 

Sekiranya anda memilih untuk meletakkan gambar bersaiz pasport, pastikan ianya adalah gambar terbaik anda. Formal, ceria dan jelas. Tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Jika tidak, adalah lebih baik anda lupakan hasrat untuk meletakkan gambar.

ii. KELAYAKAN PENDIDIKAN seeloknya diletakkan di bahagian atas resume sejurus selepas maklumat diri. Sekiranya anda memiliki Ijazah dan Diploma, maka keputusan PMR dan UPSR tak perlulah diletakkan di dalam resume. Malah tidak menjadi kesalahan jika anda hanya meletakkan kelayakan tertinggi sahaja di dalam resume. Jangan lupa letakkan CGPA atau keputusan terkini anda. 

Untuk graduan yang belum pernah bekerja, adalah elok jika anda menyenaraikan beberapa mata pelajaran dan keputusan yang anda capai. Saya pernah menyenaraikan subjek dengan keputusan A sahaja di dalam resume dan senarai ini akan berubah-ubah mengikut kerjaya yang saya mohon. 

iii. PENGALAMAN BEKERJA mestilah relevan dengan kerjaya yang anda mohon. Contohnya, pengalaman bekerja secara sambilan di Seven Eleven tidak perlulah dimasukkan ke dalam resume untuk jawatan Eksekutif di syarikat korporat. Pengalaman tersebut mungkin lebih sesuai sekiranya anda memohon kerja di syarikat perkhidmatan. Bukan menafikan usaha berdikari anda, tapi untuk menjimatkan ruang dan kertas. Adalah lebih baik jika anda menulis tentang nilai-nilai dan kemahiran yang anda pelajari selama bekerja. 

iv. KEMAHIRAN KENDIRI seharusnya melambangkan siapa diri anda dan mestilah sesuai dengan kerjaya yang dipohon. Anda boleh juga menyenaraikan jawatan yang dipegang dan anugerah yang pernah dicapai dalam aktiviti kokurikulum. Senaraikan semua jawatan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha atau Bendahari kerana ia melambangkan daya kepimpinan anda.

Fikir-fikirkan, penglibatan anda sebagai ahli pasukan tarian mungkin tidak relevan untuk syarikat Korporat tetapi relevan untuk syarikat Perkhidmatan dan Hiburan. Mungkin lebih baik jika anda memberitahu kemahiran anda yang lain seperti perisian komputer dan sukan. Majikan juga manusia biasa dan kadang-kadang mereka bias kepada persepsi tersendiri.

v. GAJI adalah penting untuk mereka yang pernah bekerja sebelum ini. Gaji lama dan gaji baru yang anda minta akan membantu syarikat untuk menentukan kemampuan kewangan mereka untuk "membeli" anda. Bagi graduan yang belum pernah bekerja, gaji baru seharusnya mengikut harga pasaran contohnya RM2,000 walaupun anda tahu syarikat besar seperti Shell dan Exxon Mobil mampu membayar lebih daripada itu. Tak mengapa meminta gaji yang rendah, kerana anda perlu melihat gaji bukan hanya pada nombor tapi juga pada faedah (benefits), persekitaran tempat kerja (working environment), peluang memajukan kerjaya (career progression) dan mungkin juga lokasi.

vi. RUJUKAN akan membantu syarikat menentukan tahap profesionalisma anda, selain daripada memudahkan mereka untuk membuat semakan. Justeru, elakkan daripada menamakan ayah atau adik beradik sebagai rujukan kerana ia bukanlah rujukan yang adil. Jurulatih Bola Sepak juga bukanlah rujukan yang baik (kecuali kalau anda meminta jawatan pegawai sukan)! Rujukan terbaik adalah mereka yang pernah bekerja dengan anda dan gunakan jawatan rasmi mereka. Saya pernah meminta izin daripada pensyarah universiti dan pegawai kolej untuk meletakkan nama mereka sebagai rujukan dan saya serahkan satu salinan resume kepada mereka. 



Itu sahaja contoh pengisian resume yang wajib ada di dalam sesebuah resume. Banyak kali saya nyatakan bahawa maklumat di dalam resume seharusnya bersesuaian atau relevan dengan kerjaya yang dipohon. Resume saya dulu dibahagikan mengikut kategori syarikat seperti Kerajaan, Korporat/Swasta, Perkhidmatan dan Hiburan. Dan semestinya setiap resume saya akan mempunyai maklumat yang relevan dengan penekanan dan susunan yang berbeza. Susah atau Usaha? Terserah anda :-)

Ini baru bab pengisian resume. Belum bab design atau rekaletak lagi. Nanti saya akan kongsikan lagi. Selamat menulis resume ! :-)

Kalau Menghadiri Pameran Kerjaya

Saya perhatikan ada beberapa pola perangai yang ditunjukkan oleh graduan ketika menghadiri Pameran Kerjaya (Career Fair) di Malaysia. Ada yang bagus dan ada yang tidak. Menarik untuk dikongsikan buat pengajaran kita bersama.




PAKAIAN 
Ya, tiada kod pakaian khusus untuk menghadiri Pameran Kerjaya. Memadailah memakai kemeja dan seluar panjang bagi lelaki dan smart casual bagi perempuan. Tali leher dan kot tidak diperlukan kecuali jika anda menghadiri temuduga. Seeloknya disimpan sahaja di dalam beg dan tidak perlulah dipakai setiap masa kerana anda akan berpeluh-peluh dalam kesesakan pengunjung.



PENGENALAN DIRI
Mulakan perbualan dengan memperkenalkan nama, latarbelakang pendidikan dan kemahiran kendiri. Jangan terlalu panjang kerana ini bukan sesi temuduga, Keep It Short and Simple (KISS). Janganlah dimulakan perbualan dengan bertanya "Bang, sini ada kerja kosong ke?" Pameran Kerjaya bukanlah seperti laman web yang menyenaraikan kerja kosong. Sekiranya anda memiliki potensi, syarikat akan sanggup melakukan apa sahaja untuk membawa anda menyertai mereka.



KEYAKINAN DIRI
Suasana di Pameran Kerjaya selalunya panas dan bising dengan pengunjung. Di sinilah tahap keyakinan diri anda akan tercabar untuk cuba menarik perhatian wakil syarikat. Kekalkan tahap energi dan lontarkan suara dengan bahasa badan yang meyakinkan. Jaga penampilan terutamanya bau badan, bulu hidung dan bau mulut. Gula-gula Fisherman's Friend mungkin boleh membantu ;-)




RESUME
Akhir sekali adalah resume; sebagai satu-satunya "wakil" dan "jurucakap" anda kepada pihak syarikat. Sekiranya anda berjaya melaksanakan tiga perkara di atas dengan baik, serahkan resume kepada wakil syarikat (bukan diletakkan di dalam kotak yang disediakan), kerana kebarangkalian besar resume anda akan diasingkan daripada resume mereka yang biasa-biasa. Oleh itu, bawalah resume secukupnya dan jangan sampai kehabisan salinan. Seeloknya, bawalah resume dalam bentuk soft copy di dalam pendrive atau hard disc.


Selamat menghadiri Pameran Kerjaya ! :-)



Bilakah Waktu Paling Sesuai Kalau Mencari Kerja?

Apakah kita mencari kerja apabila sudah tamat belajar sahaja?

- Adik, jom pergi Pameran Kerjaya esok.
- Eh saya belum grad lagilah abang.

Sebenarnya usaha mencari kerja boleh dimulakan seawal tahun pertama di Universiti. Mencari kerja bukan hanya menulis resume dan menghadiri temuduga tetapi lebih daripada itu. Di sini saya senaraikan apa yang anda boleh lakukan sebagai persediaan mencari kerja walaupun anda belum tamat belajar :

1. BERKENALAN DENGAN SYARIKAT
Graduan boleh mula berkenalan dengan syarikat-syarikat di Malaysia dengan meneliti kehendak dan prospek mereka. Jangan pasang target untuk satu syarikat sahaja tetapi cubalah berkenalan dengan semua syarikat dan dari situ anda akan dapat melihat persamaan dan perbezaannya. Usaha ini boleh dilakukan dengan menghadiri Pameran Kerjaya, seminar ataupun secara online. Bertanyalah apa yang syarikat tersebut mahukan daripada pekerjanya. Ambil nota, dan persiapkan diri.

2. MENCARI SAMPEL RESUME
Inilah masa yang terbaik untuk melihat-lihat sampel resume yang terbaik daripada rakan-rakan. Lagi awal kita tahu, lebih awal kita bersedia. Ada beberapa maklumat yang penting untuk anda sediakan lebih awal. Ada maklumat yang tak patut langsung dimasukkan ke dalam resume. Nanti saya kongsikan tips menulis resume yang bagus. 

3. BELAJAR TEKNIK-TEKNIK SOFTSKILL
Majoriti graduan gagal mendapat kerja yang diidamkan kerana masalah komunikasi dan keyakinan diri. Walhal semua ini boleh dipelajari ketika masih belajar di universiti. Setiap universiti mempunyai cara tersendiri melatih softskill para pelajar.  Jangan hanya bandingkan diri dengan kawan-kawan sekuliah, cuba bandingkan dengan rakan dari universiti lain. Anda tak perlu menyertai semua kelab dan persatuan. Tapi anda cuma perlu tahu skil dan sijil apa yang diperlukan untuk disertakan dengan resume nanti.

4. MENCIPTA PORTFOLIO
Tips ini sesuai untuk mereka yang belajar dalam aliran Kreatif kerana kehebatan seorang graduan aliran kreatif sukar untuk dinilai dari segi CGPA semata-mata. Sebagai pelajar aliran kreatif seperti Art & Design, Mass Communication, Photography dan sebagainya, anda perlu mahir bukan hanya dari segi teori tapi juga praktikal. Rebutlah peluang mencipta portfolio ketika masih belajar di universiti. Gunakan segala teknologi yang ada di hujung jari seperti laman blog dan web. Ambil gambar segala hasil kerja atau projek tahun akhir anda sebagai bukti kepada bakal majikan anda nanti. Insya Allah ada gunanya nanti.

5. LATIHAN INDUSTRI / PRAKTIKAL
Kebanyakkan graduan mengikuti latihan industri atau praktikal semata-mata untuk mendapat gred lulus. Hakikatnya, inilah masa paling sesuai untuk anda berkenalan dengan syarikat. Korek sebanyak mungkin ilmu daripada senior di pejabat dan serlahkan sotfskill anda dengan menyertai aktiviti pejabat secara aktif. Jangan tunggu dipanggil, kerana semua syarikat sukakan mereka yang bekerja secara sukarela

6. BANYAKKAN MEMBACA
Sebagai seorang pelajar, inilah masanya untuk anda banyakkan membaca bagi meluaskan minda dan pemikiran. Isu pemikiran kreatif dan kritis ini telah dimulakan sejak zaman sekolah lagi. Entah kenapa, masih ramai graduan yang gagal dalam temuduga apabila ditanya bab pengetahuan umum. Kembangkan minda dengan isu-isu semasa kerana ia akan mengajar anda untuk merasionalkan situasi, mengenali punca dan menyelesaikannya (root cause and problem solving). Anda tidak perlu menjadi cerdik dengan menghafal fakta, tetapi anda cuma perlu pandai mengkaitkan informasi dengan situasi.


Banyak persediaan awal kalau mencari kerja kan? Selamat mencuba !

Kalau Mencari Kerja (....Kenapa Saya Menulis)

Saya belajar satu persatu tips mencari kerja berdasarkan pengalaman sendiri sebagai bekas penganggur selama lebih setahun. Saya pernah bekerja secara kontrak di agensi kerajaan, secara sambilan di asrama universiti dan pernah menjadi jurujual melalui telefon untuk sebuah hotel tertinggi di Malaysia. Sehinggalah sekarang saya berjawatan tetap di syarikat antarabangsa milik Malaysia dan bertanggungjawab sebagai Recruiter mencari pekerja baru untuk syarikat di bangunan tertinggi di Malaysia. Alhamdulillah, kerja saya sekarang membuka hati saya untuk berkongsi pengalaman mencari kerja.


Kalau Mencari Kerja - sebenarnya ada banyak perkara yang perlu dititikberatkan. Sejak bergelar Recruiter, banyak tips yang disimpan untuk dikongsikan bersama. Banyak pengalaman berdepan dengan susah payah graduan yang sedang mencari kerja. Banyak cerita pahit manis yang saya dengar daripada ibu bapa apabila anaknya gagal dalam temuduga.  

Blog Kalau Mencari Kerja ini saya tuliskan khas untuk adik-adik graduan yang sedang mencari kerja. Kalau mencari kerja, jangan lupa singgah dulu di blog ini ya. Sama-sama kita berkongsi pengalaman masing-masing. Moga-moga bermanfaat buat semua anak bangsa kita, inshaa Allah :-)