Kalau Menghadiri Pameran Kerjaya

Saya perhatikan ada beberapa pola perangai yang ditunjukkan oleh graduan ketika menghadiri Pameran Kerjaya (Career Fair) di Malaysia. Ada yang bagus dan ada yang tidak. Menarik untuk dikongsikan buat pengajaran kita bersama.




PAKAIAN 
Ya, tiada kod pakaian khusus untuk menghadiri Pameran Kerjaya. Memadailah memakai kemeja dan seluar panjang bagi lelaki dan smart casual bagi perempuan. Tali leher dan kot tidak diperlukan kecuali jika anda menghadiri temuduga. Seeloknya disimpan sahaja di dalam beg dan tidak perlulah dipakai setiap masa kerana anda akan berpeluh-peluh dalam kesesakan pengunjung.



PENGENALAN DIRI
Mulakan perbualan dengan memperkenalkan nama, latarbelakang pendidikan dan kemahiran kendiri. Jangan terlalu panjang kerana ini bukan sesi temuduga, Keep It Short and Simple (KISS). Janganlah dimulakan perbualan dengan bertanya "Bang, sini ada kerja kosong ke?" Pameran Kerjaya bukanlah seperti laman web yang menyenaraikan kerja kosong. Sekiranya anda memiliki potensi, syarikat akan sanggup melakukan apa sahaja untuk membawa anda menyertai mereka.



KEYAKINAN DIRI
Suasana di Pameran Kerjaya selalunya panas dan bising dengan pengunjung. Di sinilah tahap keyakinan diri anda akan tercabar untuk cuba menarik perhatian wakil syarikat. Kekalkan tahap energi dan lontarkan suara dengan bahasa badan yang meyakinkan. Jaga penampilan terutamanya bau badan, bulu hidung dan bau mulut. Gula-gula Fisherman's Friend mungkin boleh membantu ;-)




RESUME
Akhir sekali adalah resume; sebagai satu-satunya "wakil" dan "jurucakap" anda kepada pihak syarikat. Sekiranya anda berjaya melaksanakan tiga perkara di atas dengan baik, serahkan resume kepada wakil syarikat (bukan diletakkan di dalam kotak yang disediakan), kerana kebarangkalian besar resume anda akan diasingkan daripada resume mereka yang biasa-biasa. Oleh itu, bawalah resume secukupnya dan jangan sampai kehabisan salinan. Seeloknya, bawalah resume dalam bentuk soft copy di dalam pendrive atau hard disc.


Selamat menghadiri Pameran Kerjaya ! :-)



Bilakah Waktu Paling Sesuai Kalau Mencari Kerja?

Apakah kita mencari kerja apabila sudah tamat belajar sahaja?

- Adik, jom pergi Pameran Kerjaya esok.
- Eh saya belum grad lagilah abang.

Sebenarnya usaha mencari kerja boleh dimulakan seawal tahun pertama di Universiti. Mencari kerja bukan hanya menulis resume dan menghadiri temuduga tetapi lebih daripada itu. Di sini saya senaraikan apa yang anda boleh lakukan sebagai persediaan mencari kerja walaupun anda belum tamat belajar :

1. BERKENALAN DENGAN SYARIKAT
Graduan boleh mula berkenalan dengan syarikat-syarikat di Malaysia dengan meneliti kehendak dan prospek mereka. Jangan pasang target untuk satu syarikat sahaja tetapi cubalah berkenalan dengan semua syarikat dan dari situ anda akan dapat melihat persamaan dan perbezaannya. Usaha ini boleh dilakukan dengan menghadiri Pameran Kerjaya, seminar ataupun secara online. Bertanyalah apa yang syarikat tersebut mahukan daripada pekerjanya. Ambil nota, dan persiapkan diri.

2. MENCARI SAMPEL RESUME
Inilah masa yang terbaik untuk melihat-lihat sampel resume yang terbaik daripada rakan-rakan. Lagi awal kita tahu, lebih awal kita bersedia. Ada beberapa maklumat yang penting untuk anda sediakan lebih awal. Ada maklumat yang tak patut langsung dimasukkan ke dalam resume. Nanti saya kongsikan tips menulis resume yang bagus. 

3. BELAJAR TEKNIK-TEKNIK SOFTSKILL
Majoriti graduan gagal mendapat kerja yang diidamkan kerana masalah komunikasi dan keyakinan diri. Walhal semua ini boleh dipelajari ketika masih belajar di universiti. Setiap universiti mempunyai cara tersendiri melatih softskill para pelajar.  Jangan hanya bandingkan diri dengan kawan-kawan sekuliah, cuba bandingkan dengan rakan dari universiti lain. Anda tak perlu menyertai semua kelab dan persatuan. Tapi anda cuma perlu tahu skil dan sijil apa yang diperlukan untuk disertakan dengan resume nanti.

4. MENCIPTA PORTFOLIO
Tips ini sesuai untuk mereka yang belajar dalam aliran Kreatif kerana kehebatan seorang graduan aliran kreatif sukar untuk dinilai dari segi CGPA semata-mata. Sebagai pelajar aliran kreatif seperti Art & Design, Mass Communication, Photography dan sebagainya, anda perlu mahir bukan hanya dari segi teori tapi juga praktikal. Rebutlah peluang mencipta portfolio ketika masih belajar di universiti. Gunakan segala teknologi yang ada di hujung jari seperti laman blog dan web. Ambil gambar segala hasil kerja atau projek tahun akhir anda sebagai bukti kepada bakal majikan anda nanti. Insya Allah ada gunanya nanti.

5. LATIHAN INDUSTRI / PRAKTIKAL
Kebanyakkan graduan mengikuti latihan industri atau praktikal semata-mata untuk mendapat gred lulus. Hakikatnya, inilah masa paling sesuai untuk anda berkenalan dengan syarikat. Korek sebanyak mungkin ilmu daripada senior di pejabat dan serlahkan sotfskill anda dengan menyertai aktiviti pejabat secara aktif. Jangan tunggu dipanggil, kerana semua syarikat sukakan mereka yang bekerja secara sukarela

6. BANYAKKAN MEMBACA
Sebagai seorang pelajar, inilah masanya untuk anda banyakkan membaca bagi meluaskan minda dan pemikiran. Isu pemikiran kreatif dan kritis ini telah dimulakan sejak zaman sekolah lagi. Entah kenapa, masih ramai graduan yang gagal dalam temuduga apabila ditanya bab pengetahuan umum. Kembangkan minda dengan isu-isu semasa kerana ia akan mengajar anda untuk merasionalkan situasi, mengenali punca dan menyelesaikannya (root cause and problem solving). Anda tidak perlu menjadi cerdik dengan menghafal fakta, tetapi anda cuma perlu pandai mengkaitkan informasi dengan situasi.


Banyak persediaan awal kalau mencari kerja kan? Selamat mencuba !

Kalau Mencari Kerja (....Kenapa Saya Menulis)

Saya belajar satu persatu tips mencari kerja berdasarkan pengalaman sendiri sebagai bekas penganggur selama lebih setahun. Saya pernah bekerja secara kontrak di agensi kerajaan, secara sambilan di asrama universiti dan pernah menjadi jurujual melalui telefon untuk sebuah hotel tertinggi di Malaysia. Sehinggalah sekarang saya berjawatan tetap di syarikat antarabangsa milik Malaysia dan bertanggungjawab sebagai Recruiter mencari pekerja baru untuk syarikat di bangunan tertinggi di Malaysia. Alhamdulillah, kerja saya sekarang membuka hati saya untuk berkongsi pengalaman mencari kerja.


Kalau Mencari Kerja - sebenarnya ada banyak perkara yang perlu dititikberatkan. Sejak bergelar Recruiter, banyak tips yang disimpan untuk dikongsikan bersama. Banyak pengalaman berdepan dengan susah payah graduan yang sedang mencari kerja. Banyak cerita pahit manis yang saya dengar daripada ibu bapa apabila anaknya gagal dalam temuduga.  

Blog Kalau Mencari Kerja ini saya tuliskan khas untuk adik-adik graduan yang sedang mencari kerja. Kalau mencari kerja, jangan lupa singgah dulu di blog ini ya. Sama-sama kita berkongsi pengalaman masing-masing. Moga-moga bermanfaat buat semua anak bangsa kita, inshaa Allah :-)