Kalau Menghadiri Pameran Kerjaya

Saya perhatikan ada beberapa pola perangai yang ditunjukkan oleh graduan ketika menghadiri Pameran Kerjaya (Career Fair) di Malaysia. Ada yang bagus dan ada yang tidak. Menarik untuk dikongsikan buat pengajaran kita bersama.




PAKAIAN 
Ya, tiada kod pakaian khusus untuk menghadiri Pameran Kerjaya. Memadailah memakai kemeja dan seluar panjang bagi lelaki dan smart casual bagi perempuan. Tali leher dan kot tidak diperlukan kecuali jika anda menghadiri temuduga. Seeloknya disimpan sahaja di dalam beg dan tidak perlulah dipakai setiap masa kerana anda akan berpeluh-peluh dalam kesesakan pengunjung.



PENGENALAN DIRI
Mulakan perbualan dengan memperkenalkan nama, latarbelakang pendidikan dan kemahiran kendiri. Jangan terlalu panjang kerana ini bukan sesi temuduga, Keep It Short and Simple (KISS). Janganlah dimulakan perbualan dengan bertanya "Bang, sini ada kerja kosong ke?" Pameran Kerjaya bukanlah seperti laman web yang menyenaraikan kerja kosong. Sekiranya anda memiliki potensi, syarikat akan sanggup melakukan apa sahaja untuk membawa anda menyertai mereka.



KEYAKINAN DIRI
Suasana di Pameran Kerjaya selalunya panas dan bising dengan pengunjung. Di sinilah tahap keyakinan diri anda akan tercabar untuk cuba menarik perhatian wakil syarikat. Kekalkan tahap energi dan lontarkan suara dengan bahasa badan yang meyakinkan. Jaga penampilan terutamanya bau badan, bulu hidung dan bau mulut. Gula-gula Fisherman's Friend mungkin boleh membantu ;-)




RESUME
Akhir sekali adalah resume; sebagai satu-satunya "wakil" dan "jurucakap" anda kepada pihak syarikat. Sekiranya anda berjaya melaksanakan tiga perkara di atas dengan baik, serahkan resume kepada wakil syarikat (bukan diletakkan di dalam kotak yang disediakan), kerana kebarangkalian besar resume anda akan diasingkan daripada resume mereka yang biasa-biasa. Oleh itu, bawalah resume secukupnya dan jangan sampai kehabisan salinan. Seeloknya, bawalah resume dalam bentuk soft copy di dalam pendrive atau hard disc.


Selamat menghadiri Pameran Kerjaya ! :-)



No comments:

Post a Comment