Showing posts with label temuduga. Show all posts
Showing posts with label temuduga. Show all posts

Kalau Memilih Pakaian Untuk Temuduga

Adakah anda tahu bagaimana untuk menyesuaikan pemakaian anda dengan setiap temuduga yang anda hadiri? Dan paling penting, bagaimana menyesuaikan pakaian dengan diri anda sendiri?

Kita semua tahu bahawa etika pakaian formal bagi lelaki adalah kot, tali leher, kemeja lengan panjang dan seluar slack. Bagi perempuan pula adalah jaket, skirt melepasi paras lutut atau seluar panjang dan baju kurung. Tapi ada beberapa tips lain yang boleh anda pertimbangkan ketika memilih pakaian untuk menghadiri temuduga.


1. Perhatikan etika berpakaian syarikat tersebut kerana terdapat perbezaan antara swasta dan kerajaan. Contohnya pekerja Petronas tidak memakai tali leher pada hari bekerja biasa. Maka memadai anda sekadar memakai tali leher sahaja tanpa kot terutamanya jika ia membuatkan anda tidak selesa.

2. Kot atau blazer bukanlah pakaian wajib dalam temuduga. Sekiranya anda ingin mengenakan kot atau blazer, pastikan saiznya muat di badan anda. Jangan terlalu besar atau terlalu ketat kerana ia akan membuatkan anda kelihatan kelakar.

3. Kalau memakai tali leher, pastikan panjangnya tidak melebihi kepala tali pinggang anda. Tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek. 

4. Pilihlah pakaian dengan warna-warna pastel atau hitam dan putih. Cuba elakkan warna-warna terang seperti blocking color. Ini termasuklah warna stokin, tali pinggang, tudung, skarf dan tali leher anda.

5. Bagi lelaki, kasut kulit berwarna hitam dan coklat gelap adalah digalakkan dan pastikan ianya digilap terlebih dahulu. Jangan sesekali memilih kasut jenis sneakers, loafers, moccasins dan kasut sukan.

6. Bagi wanita, kasut tumit tinggi anda tidak seharusnya melebihi 4 inci. Seeloknya pakailah kasut yang menutupi hujung jari kaki anda. Kasut jenis ballet plat adalah tidak digalakkan kerana ia membuatkan anda nampak tidak bersedia.

7. Bagi wanita, jangan sesekali memakai skirt pendek di atas paras lutut kerana ia nampak kurang sopan di mata ahli panel.

8. Elakkan memakai pakaian yang ketat kerana ia akan membuatkan anda tidak selesa ketika duduk di dalam bilik temuduga. 

9. Aksesori yang dibenarkan untuk lelaki adalah jam tangan, cuff-link dan klip tali leher. Anting-anting, tatu, gelang tangan dan rantai leher adalah tidak dibenarkan bagi lelaki. Aksesori untuk perempuan pula seharusnya bersesuaian dan tidak berlebihan sama ada dari segi saiz atau kuantiti. 

10. Tips penampilan : Mewarna rambut adalah tidak digalakkan sama sekali dan pastikan rambut disikat rapi dan kemas. Pakailah solekan dan wangian yang tidak keterlaluan. Makan gula-gula sebelum temuduga untuk mengelakkan nafas berbau, cukur dan kemaskan misai, janggut dan bulu hidung.


Selamat memilih pakaian ! :-)




Kalau Memperkenalkan Diri Dalam Temuduga

Sila perkenalkan diri anda.
Soalan ini selalunya adalah soalan pembukaan dalam setiap temuduga. Remember, first impression stick. Berikan jawapan yang ringkas tapi tidak klise, lain daripada lain dan mampu menarik perhatian ahli panel.

Contoh : Salam. Nama saya diberi sejak 25 tahun yang lepas - Nurul Fatimah Hazman. Anak sulung dalam keluarga dan merupakan anak pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke Universiti. Insha Allah saya berharap akan menjadi contoh yang terbaik kepada lima orang adik saya yang lain. Saya memiliki Ijazah Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknikal Malaysia dengan CGPA 3.31, alhamdulillah zaman universiti banyak mengajar saya pelbagai kemahiran seperti Adobe Photoshop, bermain tenis dan menulis pantun di blog.

Pengenalan diri yang lain daripada lain ini lebih berguna sekiranya anda menghadiri temuduga berkumpulan. Selain memperkenalkan diri, anda juga memperkenalkan personaliti dan kekuatan diri anda. Ini akan menarik perhatian panel untuk bertanya lebih lanjut sekaligus mencipta mood temuduga yang lebih "personal", ceria dan kurang tekanan. Tapi jangan terlalu berbunga-bunga pula, takut nanti panel tak faham.

Paling penting, anda mesti berlatih bagaimana untuk memperkenalkan diri sebelum masuk ke dalam bilik temuduga. Kalau anda gagal bercerita tentang diri sendiri, apatah lagi tentang hal-hal lain. 

Selamat memperkenalkan diri ! :-)


Kalau Menjawab Lima Soalan Popular Dalam Temuduga

Di manakah anda lima tahun dari sekarang?
Saya ingin menjadi seorang Pengurus Kanan di syarikat ini. Lima tahun mungkin terlalu awal untuk saya menjadi Pengurus Kanan, tetapi saya perlu bekerja keras untuk belajar sebanyak mungkin dalam tempoh yang pendek ini.

Tips: Anda berkeyakinan dan memasang angan-angan yang tinggi, tapi dalam masa yang sama anda merendah diri dan mengakui kelemahan diri.



Adakah anda ingin bekerja di Kuala Lumpur atau di Sarawak?
Jika diberi pilihan saya ingin bekerja di Kuala Lumpur kerana saya rasa lebih banyak peluang untuk memajukan kerjaya di sini. Tapi saya akan mempertimbangkan tawaran kerja di Sarawak untuk menambah lagi pengalaman saya dalam bidang ini.

Tips: Anda telahpun memberi jawapan yang pertama bersama alasan kukuh anda yang tersendiri. Tapi dalam masa sama anda tidak menolak atau menafikan pilihan jawapan yang kedua. Ini menunjukkan anda tidak tamak dan tidak mementingkan diri sendiri.


Kenapa anda memilih untuk menyertai syarikat kami dan meletak jawatan di syarikat lama? 
Saya ingin memajukan lagi kareer saya dalam industri yang lebih besar bersandarkan kelayakan yang saya ada. Sebelum ini saya telahpun mencuba sehabis baik di syarikat lama dan telah tiba masanya untuk saya mencapai impian yang lebih besar dengan bekerja di syarikat ternama ini. Sekiranya diberi peluang, saya akan berusaha untuk menggunakan segala pengalaman yang saya perolehi untuk memajukan syarikat ini.

Tips: Panel cuba menimbulkan provokasi. Jangan sesekali memburuk-burukkan mana-mana syarikat atau orang perseorangan. Kembalikan topik perbualan kepada kekuatan diri anda dan dalam masa yang sama merendah diri. Kaitkan latar belakang pendidikan anda dengan misi dan visi syarikat.


Kenapa kami perlu mengambil anda bekerja di sini sedangkan anda tidak mempunyai pengalaman bekerja?
Kerana saya ada kemampuan yang boleh menyumbang kepada kejayaan syarikat ini. Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman bekerja, tetapi sebagai orang muda yang baru tamat belajar, saya mempunyai semangat yang tinggi, kesihatan yang baik, penglihatan yang cerah dan pemikiran yang kreatif. Sekiranya diberi peluang, saya bersedia untuk terus belajar di bawah tunjuk ajar pemimpin di dalam syarikat tuan.

Tips: Panel ingin menilai sejauhmana anda mampu memberi sumbangan kepada syarikat mereka. Jangan terlalu membangga diri dan jangan terlalu merendah diri. Walaupun anda tidak mempunyai pengalaman bekerja, tetapi pasti anda boleh tunjukkan kehebatan yang lain. 


Apakah kelemahan diri anda?
Kelemahan saya adalah dalam menyusun aktiviti seharian saya. Kadang-kadang saya terlalu mengutamakan multitasking dan mementingkan kesempurnaan (perfectionist). 

Tips: Panel ingin menduga keyakinan diri anda. Adalah lebih menarik sekiranya anda memberitahu tentang kelemahan anda tetapi dalam masa yang sama kelemahan itu boleh menjadi kekuatan anda. Jangan menipu atau mencipta jawapan, seeloknya selami dan kenali diri anda. Pasti ada kelemahan diri yang menjadi punca kekuatan anda selama ini.

Secara keseluruhannya, setiap jawapan anda perlu mempunyai elemen berikut:

Keyakinan diri
Merendah diri
Keinginan untuk belajar
Berkata benar 
Tidak melampau

Selamat berlatih menjawab soalan temuduga :-)

Kalau Menghadiri Pameran Kerjaya

Saya perhatikan ada beberapa pola perangai yang ditunjukkan oleh graduan ketika menghadiri Pameran Kerjaya (Career Fair) di Malaysia. Ada yang bagus dan ada yang tidak. Menarik untuk dikongsikan buat pengajaran kita bersama.




PAKAIAN 
Ya, tiada kod pakaian khusus untuk menghadiri Pameran Kerjaya. Memadailah memakai kemeja dan seluar panjang bagi lelaki dan smart casual bagi perempuan. Tali leher dan kot tidak diperlukan kecuali jika anda menghadiri temuduga. Seeloknya disimpan sahaja di dalam beg dan tidak perlulah dipakai setiap masa kerana anda akan berpeluh-peluh dalam kesesakan pengunjung.



PENGENALAN DIRI
Mulakan perbualan dengan memperkenalkan nama, latarbelakang pendidikan dan kemahiran kendiri. Jangan terlalu panjang kerana ini bukan sesi temuduga, Keep It Short and Simple (KISS). Janganlah dimulakan perbualan dengan bertanya "Bang, sini ada kerja kosong ke?" Pameran Kerjaya bukanlah seperti laman web yang menyenaraikan kerja kosong. Sekiranya anda memiliki potensi, syarikat akan sanggup melakukan apa sahaja untuk membawa anda menyertai mereka.



KEYAKINAN DIRI
Suasana di Pameran Kerjaya selalunya panas dan bising dengan pengunjung. Di sinilah tahap keyakinan diri anda akan tercabar untuk cuba menarik perhatian wakil syarikat. Kekalkan tahap energi dan lontarkan suara dengan bahasa badan yang meyakinkan. Jaga penampilan terutamanya bau badan, bulu hidung dan bau mulut. Gula-gula Fisherman's Friend mungkin boleh membantu ;-)




RESUME
Akhir sekali adalah resume; sebagai satu-satunya "wakil" dan "jurucakap" anda kepada pihak syarikat. Sekiranya anda berjaya melaksanakan tiga perkara di atas dengan baik, serahkan resume kepada wakil syarikat (bukan diletakkan di dalam kotak yang disediakan), kerana kebarangkalian besar resume anda akan diasingkan daripada resume mereka yang biasa-biasa. Oleh itu, bawalah resume secukupnya dan jangan sampai kehabisan salinan. Seeloknya, bawalah resume dalam bentuk soft copy di dalam pendrive atau hard disc.


Selamat menghadiri Pameran Kerjaya ! :-)